About Me...

My photo
Tanjong Malim, Perak, Malaysia
(Dari Kanan) Abdul Kalamudinsah Abd Karim, Rusmiza Rusle, Noraini Mohd Sohaimi, Nurul Aziyan Abd Aziz

Monday, February 21, 2011

Giftedness in Early Childhood

Article 3 : Perkembangan Kanak-kanak Pintar Cerdas Berbakat-Siri 3

Lazimnya, kanak-kanak yang boleh dikategorikan sebagai pintar cerdas memperlihatkan pencapaian luar biasa di tabika dan tadika dalam salah satu atau kombinasi ciri pintar cerdas ini.

Keempat: Kebolehan untuk memimpin
Ciri keempat si kecil yang pintar cerdas adalah dia mempunyai suatu kebolehan istimewa untuk memimpin rakan sebayanya dan mempengaruhi mereka. Ciri ‘extrovert’ ini jelas dalam aktiviti bermain atau semasa tiada orang dewasa yang memerhati contohnya semasa waktu rehat atau siesta di tadika.
Jika kanak-kanak tidak diberikan aktiviti atau permainan untuk mengisi masa mereka, lazimnya si kecil yang pintar cerdas akan cepat mengurus teman-temannya dan mempelawa mereka bermain seperti kejar-kejar atau menyorok. Nilai kepimpinan yang tinggi juga bererti kanak-kanak pintar cerdas sentiasa berempati dengan perasaan orang lain.
Dia tidak terlalu cepat menyisihkan anak kecil lain yang mungkin tidak disenangi, malah si pintar cerdas akan mengambil insiaitif penyatuan untuk memastikan semua teman tadikanya akan selalu bersama dan bekerjasama dalam apa jua aktiviti bermain yang dilakukan.

Kelima: Nilai estetika dan kesenian
Ciri kelima yang ada dalam jiwa kanak-kanak pintar cerdas adalah kebolehan untuk menilai dan menghargai nilai estetika dan kesenian, malah ada di antara mereka yang menunjukkan bakat besar dalam penghasilan karya seni asli di waktu kanak-kanak normal masih cuba meniru atau menyalin karya seni orang lain seperti kartun atau lukisan corak.
Kesenian juga membawa erti seni muzik dan persembahan kerana ada kanak-kanak pintar cerdas yang digelar ‘prodigy’ kerana mereka boleh memainkan alat muzik seperti biola atau piano lebih cekap dari orang dewasa.
Walaupun rata-rata umur mereka masih kecil dan mereka hanya belajar di tadika, kanak-kanak sebegini mempunyai kehebatan luar biasa untuk mengenal nota muzik malah ada yang mampu mencipta karya muzik sendiri!
Menurut kajian, kemahiran seni yang luar biasa akan mula terlihat di zaman pra-formal kerana pada waktu itu, kanak-kanak boleh mengawal otot dan pergerakan mereka dengan lebih cekap untuk memegang berus lukisan atau kunci piano. Mereka hanya perlu pendedahan dan mereka akan termotivasi untuk meninggikan tahap kemampuan dalam bidang seni yang diceburi.

Keenam: Keterampilan dan keyakinan diri
Ciri kepintar-cerdasan terakhir yang boleh dilihat pada zaman pra-formal adalah memiliki keterampilan diri dan tahap keyakinan yang tinggi dibandingkan dengan rakan sebaya. Si kecil pintar cerdas sememangnya unik kerana dia yakin kepada kemampuan dirinya.
Bayangkan, di tadika semasa kanak-kanak lain masih malu untuk berinteraksi atau sedikit was-was untuk melakukan aktiviti yang disuruh oleh guru, kanak-kanak pintar cerdas boleh ‘membawa diri’ dengan sempurna. Mereka mampu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling setelah mereka membuat pemerhatian awal.
Berikan sahaja masa dan si kecil pintar cerdas mampu menjadi kanak-kanak yang paling disenangi atau mungkin juga dikagumi oleh guru di tadika. Yang penting pada waktu ini adalah banyak pendedahan dan juga ruang untuk berkembang tanpa kawalan disiplin yang terlalu ketat atau tekanan yang tidak munasabah.

Seperkara lagi yang mesti disebut, penyelidikan membuktikan bahawa guru terbaik untuk kanak-kanak pintar cerdas pra-formal adalah seorang individu yang juga pernah dikategorikan sebagai pintar cerdas. Ini kerana pendidik sebegini lebih arif tentang kemahuan dan keperluan individu seperti mereka.

Akhir kata, jika anda merasakan anak kecil anda mungkin boleh dikategorikan sebagai pintar cerdas atau anda melihat salah satu atau kombinasi ciri utama ini dalam dirinya, maka sebagai ibu dan bapa anda wajib menghubungi pakar akademik dan pendidikan atau ahli psikologi untuk khidmat nasihat tentang cara terbaik untuk membangunkan potensi dan bakat anak kecil anda.

No comments:

Post a Comment