About Me...

My photo
Tanjong Malim, Perak, Malaysia
(Dari Kanan) Abdul Kalamudinsah Abd Karim, Rusmiza Rusle, Noraini Mohd Sohaimi, Nurul Aziyan Abd Aziz

Friday, March 25, 2011

Group presentation : Content 9

Strategies and Methods for Teaching the Talented

Penulisan Ilmiah

KURIKULUM YANG SESUAI UNTUK KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

1.0 PENGENALAN

Perkembangan pendidikan semasa, terutama dari segi modifikasi sukatan pelajaran dan kaedah pengajaran untuk memenuhi keperluan pelajar pintar cerdas, normal dan pendidikan khas, samaada di Malaysia atau di luar negeri, telah menarik minat ahli pendidik dan penulis bahan ilmiah untuk membicarakan fenomena tersebut. Dengan perlaksanaan program KBSR, KBSM dan yang terbaharu KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) yang memberi tumpuan kepada pendidikan umum untuk semua pelajar, maka dengan ini kita memerlukan masa untuk meneliti isu-isu yang berkaitan dengan pengajaran, pembelajaran dan penilaian bagi pendidikan untuk murid pintar cerdas secara meluas dan mendalam.
Mulai tahun 1999, satu kurikulum bestari telah dibentuk dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kurikulum bagi pelajar pintar cerdas adalah sama dengan kurikulum bagi pelajar biasa. Perkara yang membezakan program pelajar pintar cerdas dengan pelajar biasa ialah pengayaan kurikulum atau asas kaedah pengayaan yang merentas kurikulum dan yang berfokus kepada bidang yang diminati pelajar.
Untuk melahirkan insan yang cemerlang, program pendidikan pintar cerdas perlu memberi fokus kepada perkembangan dan pembangunan manusia secara seimbang, menyeluruh dan bersepadu. Program pendidikan pintar cerdas yang bersepadu dapat diwujudkan hanya apabila ahli pendidik membuat beberapa perubahan besar terhadap falsafah, teori dan amalan pendidikan konvensional.

2.0 KAJIAN TENTANG KURIKULUM UNTUK KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Kajian mengenai kurikulum yang sesuai untuk kanak-kanak pintar dan cerdas adalah sangat baru. Peredaran zaman dari akhir 1950an hingga sekarang banyak menghasilkan program-program yang bertujuan untuk mendapatkan idea-idea dalam bidang kandungan tertentu tentang tentang pembezaan kurikulum untuk kanak pintar telah dipelajari secara sistematik. Walaupun kelas khusus telah beroperasi sejak 1919 di beberapa lokasi seperti di New York dan Cleveland, pembezaan dari segi strategi pembelajaran, kandungan atau bahan antara kelas dan perkara lain masih belum dikaji. Pengelompokan berdasarkan kecerdasan dan prestasi adalah strategi utama yang digunakan dan garis panduan untuk kurikulum yang telah disiapkan untuk digunakan oleh kanak-kanak pintar cerdas (Hall, 1956; Hollingworth, 1926).
Pada tahun 1960an dan 1970an, penyelidik dalam bidang untuk kanak-kanak pintar cerdas telah menyenaraikan beberapa prinsip umum tentang kurikulum yang sesuai untuk kanak-kanak berbakat. Ward (1961) mengembangkan teori pembezaan pendidikan untuk kanak-kanak pintar dan prinsip-prinsip khusus yang dikhaskan untuk kurikulum kanak-kanak pintar boleh dibangunkan. Meeker (1969) menggunakan struktur intelek Guilford untuk mencari kekuatan dan kelemahan kanak-kanak pintar sehingga penyelidik kurikulum dapat membina suatu program pintar untuk mengurangkan kelemahan yang ada. Arahan kerja kurikulum yang berstruktur secara khusus dibanngunkan untuk menangani kurikulum yang sesuai dalam bidang afektif, kognitif, berfikiran konvergen dan divergen, dan penilaian.
Renzulli (1975) memfokuskan pada model pembezaan kurikulum yang menggerakkan kanak-kanak pintar cerdas dari segi aktiviti pengayaan melalui latihan dalam kemahiran berfikir dan kajian didalam program berorientasikan projek untuk menangani masalah yang nyata. Gallagher dan Gallagher (1995) menekankan pengubahsuaian kandungan dalam mata pelajaran teras dari segi seni bahasa, kajian sosial, matematik dan sains. Stanley, Keating dan Fox (1974) memberi tumpuan kepada model untuk mempercepatkan kandungan untuk membezakan program untuk kanak-kanak pintar.
Maker dan Nielson (1996) telah menekankan pendekatan konfluen dalam pembezaan kurikulum untuk kanak-kanak pintar yang meliputi program pecutan dan strategi pengayaan. Passow (1982) merumuskan tujuh prinsip kurikulum kardinal yang melibatkan isi kandungan, proses, produk, tingkah laku dan penilaian. VanTassel-Baska (1993b) mengembangkan suatu garis besar dari 20 aspek kurikulum yang baik untuk kanak-kanak pintar yang menekankan pada kandungan, proses/ produk dan konsep dimensi tema/ dari kurikulum ke dalam Model Kurikulum Bersepadu (Intergrated Curriculum Model) yang telah diuji dalam sains dan seni bahasa didalam kelas nasional. Data dari dua kajian terdahulu menunjukkan bahawa kanak-kanak pintar telah diajar menggunakan kurikulum yang dikembangkan dari model ini mengungguli kawalan dalam bidang berfikir peringkat tinggi (VanTassel-Baska, Johnson, Hughes & Boyce, 1996).

3.0 ELEMEN UTAMA DALAM MEMBANGUNKAN KURIKULUM KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

3.1 KEPERLUAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS
Dalam menilai elemen utama berhubung dengan kurikulum kanak-kanak pintar, salah satu daripadanya ialah dari segi prinsip yang harus diberi perhatian untuk diterjemahkan secara teori ke dalam amalan yang baik secara menyeluruh sehingga isu pendidikan untuk kanak-kanak ini selesai dan tidak dihapuskan. Hal ini dapat dicapai jika kita memfokuskan pada unsur asas seperti:
1. Penekanan kepada struktur bagi konsep dan prinsip asas dalam sesuatu mata pelajaran dan bukan kepada aktiviti hafalan dan ingatan sahaja.
2. Penekanan kepada cara bagaimana sesuatu prinsip atau algoritma itu diterbitkan dan bukan kepada apa yang diterbitkan sahaja.
3. Penekanan kepada pengembangan sesuatu kurikulum secara meluas dan mendalam.
4. Penekanan kepada kaedah pembelajaran melalui pengalaman seperti kerja projek, simulasi, memain peranan, kajian kes, inkuiri secara individu atau kelompok dan reka cipta.
5. Penekanan kepada integrasi teknik pembelajaran berseorangan, bekerjasama dan bersaing konstruktif.

3.2 KEMAHIRAN BERFIKIR
Ia membabitkan kemahiran memberi tumpuan kepada maklumat yang relevan, kemahiran mengumpul data dari pelbagai sumber, kemahiran mengingat, kemahiran mengurus, kemahiran analisis, kemahiran menghasilkan idea yang bermakna, kemahiran membuat hubungkait dan kemahiran membuat penilaian.

4.0 MODEL KURIKULUM

4.1 MODEL WILLIAM (1970), MODEL TAYLOR (1971) dan MODEL TORRANCE (1978)


4.2 MODEL MAKER (1982)
Maker (1982) menyenaraikan empat komponen kurikulum yang boleh diubahsuai oleh pendidik bagi membentuk program pendidikan pintar cerdas yang berbeza dari segi kualiti dengan program pendidikan konvensional iaitu:
i. Isi Kandungan.
ii. Proses pengajaran.
iii. Hasil pembelajaran.
iv. Persekitaran Pembelajaran.

4.2.1 Isi Kandungan
Pelajar pintar dan berbakat dapat memahami idea dan konsep yang abstrak pada tahap yang tinggi berbanding dengan pelajar biasa, dengan itu amat bertepatan sekali jika isi kandungan yang khusus digubal bagi membolehkan pelajar tersebut mengembangkan potensinya secara maksimum.
Dalam program pendidikan pintar cerdas, pelajar pintar dan berbakat didedahkan dengan konsep dan prinsip yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka, dan bukan lebih rendah atau terlalu tinggi daripada tahap kebolehan mereka. Walaubagaimanapun jika guru tidak mempunyai wawasan yang jelas tentang matlamat pendidikan pintar cerdas, pelajar akan hanya dicurahkan dengan berbagai maklumat dan fakta dan bukan dengan analisis dan sintesis yang terperinci terhadap idea-idea kompleks yang signifikan. Renzulli (1977) menyatakan sebahagian besar daripada program pintar cerdas sekarang lebih merupakan program hiburan daripada pendidikan.
Pendidikan khusus bagi pelajar pintar dan berbakat ditentukan sifatnya oleh pandangan hidup sesuatu budaya kerana pendidikan itu merupakan alat terpenting untuk merealisasikan tujuan dan pandangan hidup itu.

4.2.2 Proses pengajaran dan Hasil pembelajaran
Proses pengajaran merujuk kepada penggunaan kaedah pengajaran yang khusus bagi memenuhi keperluan pelajar pintar dan berbakat dalam mengembangkan tahap pemikiran yang tinggi, penaakulan induktif dan deduktif, penghasilan kreatif dan akhlak yang mulia.
Hasil pembelajaran pula merujuk kepada pembinaan tindakan dan operasi yang mantap yang membolehkan pelajar pintar cerdas memberi sumbangan yang professional kepada kesejahteraan diri dan keharmonian masyarakat.
Output yang dihasilkan oleh pelajar pintar cerdas mestilah berbeza daripada output yang dihasilkan oleh pelajar lemah dari segi penekanannya kepada transformasi dan bukan kepada rumusan pengetahuan yang sedia ada. Pendidikan itu mestilah mampu melahirkan pelajar yang dapat memberi sumbangan yang konstruktif kepada pembangunan negara dari segi intelek, ekonomi, teknologi, politik dan akhlak. Guru pula berperanan sebagai penyambung budaya, pembimbing, contoh tauladan yang baik dan pemberi ingatan kepada murid. Seterusnya semua guru harus sedar bahawa mereka tidak dapat membina pengetahuan kepada murid.

4.2.3 Persekitaran Pembelajaran.
Modifikasi dalam persekitaran pembelajaran membabitkan perubahan yang menggalakkkan pembelajaran yang berpusatkan murid seperti pembelajaran melalui pengalaman, autonomi, pemikiran terbuka, pembinaan adab, amanah, penerokaan, berdikari, kefleksibelan dan mobiliti serta pembelajaran berpusatkan pembinaan tingkahlaku yang sofistikated. Perubahan ini boleh diwujudkan melalui kaedah pengayaan, pecutan dan pengelompokan.

I. Pengayaan (Enrichment)
Kementerian Pendidikan Malaysia (1988) mendefinisikan program pengayaan sebagai aktiviti asas pembelajaran yang mengandungi unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Istilah ‘pengayaan’ merujuk kepada penyediaan pengalaman belajar yang berbeza oleh guru dalam kelas tanpa bantuan daripada sumber luar atau guru lain. Program pengayaan yang berkesan berlaku apabila guru menyediakan pelajaran yang berbeza untuk pelajar pintar dan berbakat dalam bentuk aktiviti yang telah tersusun rapi dan pelajar menggunakan kebolehan kognitif pada peringkat tinggi. Ianya membabitkan isi kandungan yang luas dan mendalam serta memerlukan strategi komunikasi yang mencabar.
Program pengayaan yang baik memerlukan seseorang guru itu memperuntukkan tenaga, masa, usaha, sumber dan komitmen yang tinggi. Program pengayaan juga disalahtafsirkan sebagai penyediaan aktiviti yang berbeza dari segi kuantiti, tetapi sama dari segi kualiti kepada pelajar pintar dan berbakat. Contohnya penglibatan pelajar pintar berbakat sebagai tutor kepada pelajar yang lain, penglibatan dalam projek kajian tanpa bimbingan dan pengawasan yang sewajarnya atau penyediaan pengalaman yang unik tetapi tidak sesuai dengan rancangan pendidikan yang sepadu sehingga aktiviti yang dilakukan oleh pelajar ini tidak bermakna.
Renzulli (1997) berpendapat guru sepatutnya melatih pelajar untuk mencari dan menggunakan maklumat dengan memberikan kemahiran dalam kaedah penyelidikan. Antara program yang sering dirujuk ialah program pengayaan Renzulli’s Schoolwide Enrichment Model atau SEM yang sudah dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Model ini direka untuk pelajar mendapat pendedahan kepada pelbagai bidang melalui aktiviti seperti ceramah, lawatan, pembacaan, penerokaan melalui internet dan aktiviti lain. Pengalaman yang dikutip mampu membantu pelajar untuk mengenalpasti bidang dan minat bagi menjalankan penyelidikan dan guru bertindak sebagai mentor.
SEM ini bermula dari Aktiviti Jenis I, Jenis II dan Jenis III. Aktiviti Jenis I mendedahkan pelajar kepada dunia luar dan pelajaran yang tidak diajar di dalam kelas formal. Pengalaman dan penemuan yang diperolehi dapat membantu pelajar mengenalpasti minat dan bidang untuk diteroka dan diselidik seterusnya. Aktiviti Jenis II bertujuan untuk memberikan pelajar kemahiran-kemahiran asas bagi mengembangkan minat mereka. Antara kemahiran yang diberikan ialah Kursus Kemahiran Berfikir yang memberikan pendedahan dan latihan kepada pelajar untuk berfikir secara meluas, kreatif, analisis, inovatif, kritis dan bentuk pemikiran yang lain lagi. Aktiviti Jenis III pula merupakan gerak kerja pelajar sama ada menjalankan penyelidikan, mereka cipta atau aktiviti-aktiviti yang mencabar kepada mereka. Guru haruslah sentiasa mengawal perjalanan kumpulan masing-masing.
Kaedah pengayaan adalah kaedah pendekatan pendidikan yang didasarkan mengikut kemampuan dan kekuatan mental seseorang pelajar itu. Ini merupakan satu pendekatan alternatif bagi model pendidikan luar biasa. Pendekatan ini melibatkan tugasan bagi mengetahui sejauh mana kebolehan pelajar dan menggunakan maklumat tersebut sebagai titik tolak dalam mencipta lingkungan belajar. Implikasi daripada program pengayaan ini antaranya ialah objektif bagi setiap mata pelajaran dapat dicapai di samping menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan bermakna. Kaedah ini juga dapat mengelakkan pelajar dari kebosanan. Penguasaan ilmu yang lebih luas juga turut berlaku kerana pelbagai maklumat dapat disampaikan.
Bagi memantapkan program pengayaan, guru boleh menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar menerusi aktiviti seperti slot ceramah dan tazkirah supaya pelajar mempunyai nilai-nilai semangat kewarganegaraan yang berlandaskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Selain itu, semua pihak perlu melibatkan diri dalam membangunkan sistem pengurusan kolaborasi di antara ibu bapa, guru, pihak sekolah dan pelajar. Ini penting supaya semua pihak merasa bahawa diri mereka dihargai selain dapat membantu merancang aktiviti yang bersesuaian.
Kitano & Kirby (1986) dan Weiss & Gallagher (1982) telah menyenaraikan beberapa cadangan kaedah yang boleh gunakan untuk program pengayaan:
• Kajian bebas: pelajar menjalankan projek kajian yang telah dirancang dengan teliti oleh guru dan diawasi secara sistematik.
• Peluang menghabiskan sukatan pelajaran dengan cepat dan mengambil peperiksaan lebih awal: membolehkan pelajar menggunakan masa selebihnya untuk meneroka bidang pembelajaran yang baru dan mencabar.
• Penggunaan proses pemikiran pada tahap yang tinggi: guru menyediakan beberapa aktiviti dalam topik yang sama yang memberi peluang kepada penglibatan pelajar pada tahap yang sesuai dengan kebolehan inteleknya.
• Program ceramah: penceramah diundang untuk menyampaikan maklumat yang lebih dan mendalam daripada apa yang disampaikan oleh guru tentang sesuatu tajuk.
• Program mentor: mentor ialah seorang pakar rujuk yang akan memberi tunjuk ajar, nasihat, bimbingan dan mengadakan perbincangan dengan pejar pintar dan berbakat secara perseorangan dalam bidang yang diminati dalam tempoh masa tertentu.
• Bahan peringkat tinggi: guru menyediakan bahan rujukan dan bacaan yang bertahap tinggi dalam bidang yang tertentu.
• Program guru penasihat: guru menyediakan pelajaran yang berbeza dalam kelas biasa dengan bantuan guru penasihat.

II. Pecutan (Acceleration)
Istilah ‘pecutan’ merujuk kepada perubahan dalam kadar penyampaian sukatan pelajaran untuk membolehkan pelajar pintar dan berbakat menyiapkan program pendidikan biasa dalam masa yang singkat atau memendekkan masa belajar. Maka rancangan pendidikan lanjutan yang baik perlu disusun untuk membolehkan pelajar tersebut menggunakan masa yang selebihnya secara produktif. Tanpa rancangan lanjutan yang sistematik, kaedah pecutan akan menemui kegagalan.
Kaedah pecutan melibatkan program seperti kemasukan pelajar ke tahun satu atau ke pusat pengajian tinggi pada peringkat umur yang lebih muda, melangkaui kelas dan kelas gabungan. Kaedah pecutan ini melibatkan penggunaan kurikulum sekolah yang sedia ada walaupun terdapat penggunaan bahan tambahan dalam pembelajaran. Program pecutan lebih berkesan sekiranya sekolah mempunyai kurikulum yang ditetapkan dan penglibatan sekolah berterusan.
Kaedah pecutan melibatkan kanak-kanak pintar cerdas akedemik akan belajar dengan lebih banyak dan kehadapan melalui sistem sekolah daripada pelajar lain. Ini bermakna kurikulum penyesuaian (adapting curriculum) kepada kanak-kanak dinilai daripada penguasaan dan bukannya menggunakan kurikulum yang seragam yang digunakan oleh semua kanak-kanak diperingkat yang sama. Ini bermaksud, kanak-kanak yang menguasai tahap mata pelajaran yang lebih tinggi akan menerima kredit akademik berdasarkan tahap penguasaan mereka dan bukannya pencapaian dalam kurikulum tahap darjah atau tingkatan di sekolah. Kaedah ini dapat dicapai dalam beberapa langkah yang berbeza merangkumi mula bersekolah fasa awal umur dan kelas lompat (grade skipping atau double promotion).
Seterusnya ialah kelas tidak bergred di mana kanak-kanak pelbagai umur dikumpulkan bersama dan kurikulum yang digunakan adalah berdasarkan penguasaan individu dan bukan diambil kira berdasarkan umur kanak-kanak. Selain itu, cara menyesuaikan kurikulum di mana bahan atau topik yang telah dikuasai kanak-kanak dilangkau dan diteruskan dengan bahan atau topik yang lain. Grade telescoping pula memerlukan kanak-kanak menyelesaikan sesuatu program dalam masa yang singkat yang sepatutnya memerlukan masa beberapa tahun.
Pecutan subjek (acceleration subject) pula menawarkan kanak-kanak yang menguasai sesuatu subjek tertentu. Dalam subjek lain, mereka akan ditempatkan sama dengan rakan sekelas mereka. Perubahan dalam sukatan pelajaran membolehkan pelajar pintar cerdas ini menyiapkan program pendidikan biasa dalam masa yang singkat. Namun, kaedah ini memerlukan pendidikan lanjutan yang baik agar kanak-kanak pintar ini dapat mengisi masa dengan produktif.

III. Pengelompokan
Istilah ‘pengelompokan’ merujuk kepada penempatan pelajar-pelajar yang mempunyai kebolehan yang hampir sama dalam satu kelas yang khusus. Walaubagaimanapun program ini tidak dapat mempertingkatkan mutu pencapaian murid secara automatik. Untuk mendapatkan hasil yang baik, pengelompokan harus disusuli dengan pelajaran yang berkualiti dan aktiviti pengayaan.
Sebuah tinjauan kajian utama daripada kumpulan praktis oleh Karen Rogers pada tahun 1991 mendapati bahawa, pengelompokan sepenuh masa (tracking) arahan rutin tidak memberi sebarang perbezaan dalam kemampuan pencapaian akademik bagi pelajar biasa, tetapi pengelompokan ini memberi perbezaan besar dalam pencapaian akademik pelajar yang berbakat. Rogers juga mendapati bahawa kemampuan pengelompokan untuk pengayaan dan bentuk lain dari kemampuan pengelompokan, seperti pengelompokan di dalam kelas juga memberi manfaat kepada pelajar pintar dan berbakat.
Pengelompokan untuk pecutan menghasilkan manfaat yang besar jika ianya dijalankan dalam kelas tidak bergred, pemadatan kurikulum (curriculum compacting), grade telescoping (menghabiskan sekolah menengah lebih awal), pecutan subjek atau mata pelajaran dan kemasukkan ke peringkat lebih tinggi (kolej atau universiti) pada usia lebih muda. Kaedah pecutan tidak memberi kesan langsung terhadap harga diri (self-esteem) mereka. Kaedah pecutan bukan hanya mampu untuk mendapatkan keputusan akademik yang menakjubkan, tetapi juga mampu untuk menyelesaikan masalah lain. Hal ini kerana kanak-kanak yang dikumpulkan bersama akan lebih dekat antara rakan-rakan sekelas mereka yang mempunyai kemampuan, minat dan tahap yang sama.
Kajian telah membuktikan keberkesanan kaedah pengelompokan yang membolehkan kanak-kanak yang mempunyai tahap yang sama dan dikumpulkan bersama untuk mendapatkan pembelajaran yang lebih mencabar. Kaedah pengelompokan merangkumi pengelompokan sepenuh masa, pengelompokan kluster, pengelompokan dalam kelas, pengelompokan silang kelas (cross-class/ grade grouping) dan pull-out grouping. Kajian menunjukkan pencapaian akademik yang signifikan dicapai oleh kanak-kanak pintar cerdas yang menjalankan kaedah pengelompokan dalam kumpulan yang mempunyai minat dan kemampuan yang sama.
Selain itu, pengelompokan juga mempunyai kesan positif terhadap motivasi dan sikap terhadap pembelajaran, serta membantu kanak-kanak berbakat untuk mengembangkan persepsi diri yang lebih realistik. Kajian mendapati bahawa jika strategi ini digunakan secara fleksibel, ianya dapat memberi cabaran dalam pembelajaran kanak-kanak dan memberi banyak kesan positif kepada mereka.
Berikut adalah beberapa cara yang boleh digunakan untuk mengelompokkan pelajar pintar dan berbakat di sekolah rendah.
• Program bawa keluar: pelajar pintar dan berbakat meninggalkan kelas mengikut jadual yang ditetapkan untuk menerima pelajaran yang khusus daripada guru yang terlatih.
• Pengelompokan rumpun: pelajar pintar dan berbakat dari sekolah yang berhampiran dikumpulkan bersama mengikut jadual yang ditetapkan untuk mengikuti aktiviti yang tertentu. Contohnya program Rancangan Integrasi untuk Perpaduan Murid (RIMUP).
• Ekspedisi masa cuti: Ekspedisi yang dikendalikan oleh pakar dalam bidang tertentu dapat membekalkan pengalaman yang berfaedah kepada pelajar pintar dan berbakat.
• Program luar: pelajar pintar dan berbakat dikumpulkan bersama pada tempat tertentu seperti di muzium, universiti, makmal sains, hospital, masjid dan pusat industri untuk mempelajari dan mengambil bahagian dalam penyelidikan atau perkhidmatan yang dijalankan di tempat tersebut.

5.0 EVOLUSI KURIKULUM UNTUK KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DI MALAYSIA

5.1 KELAS SISTEM EKSPRESS 1962
Golongan kanak-kanak pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962. Dalam Sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperolehi pencapaian yang mengatasi rakan-rakan sebaya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh sekolah rendah mereka daripada enam tahun kepada lima tahun sahaja. Namun begitu, perlaksanaan sistem ini telah diberhentikan pada awal tahun 1970an.

5.2 MENSA (1984)
Pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan Mengenai Kanak-kanak Bergeliga telah diadakan. Ekoran daripada Simposium tersebut isu kanak-kanak pintar cerdas ini kembali diperkatakan dan Persatuan Mensa diasaskan oleh Tan Sri Dato Yong Poh Kon setelah beliau mendaftarkan Persatuan Mensa Malaysia pada 22 Mei 1984. Ahli persatuan Mensa Malaysia akan menjadi ahli persatuan Mensa antarabangsa secara langsung. Keahlian Mensa Malaysia dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai IQ yang tinggi dan berada dalam populasi 2% rakyat Malaysia. Ujian saringan seperti ujian IQ perlu dijawab dan Mensa telah menetapkan skala skor yang tertentu untuk seseorang itu diterima menjadi ahli persatuan Mensa.
Ujian kecerdasan ini telah diluluskan oleh International Supervisory Psychologist dimana ia merupakan badan yang mengiktiraf ujian yang dibuat oleh Mensa. Seseorang yang telah terpilih menjadi ahli Mensa mestilah membayar yuran yang telah ditetapkan untuk mereka menyertai program yang dianjurkan oleh pihak Mensa. Antara tujuan Mensa adalah untuk mengenal pasti individu pintar cerdas. Antara faedah yang diperolehi setelah menyertai Mensa adalah memberi kesempatan kepada individu yang mempunyai tahap fikiran yang sama untuk berinteraksi dan berkongsi pendapat antara satu sama lain.

5.3 BAKA (1985)
Sejarah BAKA bermula sebagai sebuah projek kajian di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya untuk pembangunan program ‘Superior and Gifted Intellectual Potential’ pada tahun 1980. Pada tahun 1985, pihak Universiti Malaya telah mula mengorak langkah memulakan Program BAKA khusus untuk kanak-kanak pintar cerdas. Ujian pengesanan untuk kanak-kanak yang pintar cerdas telah dijalankan dan seterusnya pada tahun 1982, program ini menjadi "pull-out" program dilakukan selama bercuti sekolah dan masa yang lain apabila diperlukan. Dikenali sebagai Program Baka untuk Tinggi Potensi Intelek (untuk kanak-kanak pintar cerdas) yang telah ditubuhkan oleh Prof Madya Azman Wan Chik. Semangatnya untuk mengembangkan potensi intelektual telah membimbingnya untuk terus menghabiskan masa, tenaga dan wang dalam penyelidikan dan pembangunan Baka.

5.4 UJIAN PENILAIAN TAHAP SATU (1996)
Menyedari tentang kepentingan untuk memberi perhatian terhadap program pendidikan khusus untuk kanak-kanak pintar cerdas di negara ini, Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Hasil daripada 33 seminar yang telah dijalankan, didapati bahawa perancangan dan pelaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang pintar cerdas ini.
Pada tahun 1996, satu bentuk penilaian bagi mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas telah dilaksanakan, yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS). Penilaian ini dilaksanakan keatas kanak-kanak tahun tiga yang belajar di sekolah rendah. Murid yang berjaya memperolehi tahap maksimum serta cemerlang dibenarkan meneruskan persekolahan ke tahun lima, tanpa perlu mengikuti persekolahan tahun empat. Walau bagaimanapun, penilaian ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja dan berakhir pada tahun 2001 kerana beberapa masalah.

5.5 PERMATA PINTAR (2008)
Program Permata Pintar telah dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak tahun 2008 untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar, cerdas dan berbakat pada peringkat usia awal. Penaung bagi Program Permata Pintar Negara ialah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Malaysia. Sebelum ini tiada program khusus untuk kanak-kanak pintar bagi meningkatkan kebolehan mereka. Matlamat dan strategi program ini untuk melahirkan lebih ramai pelajar pintar di negara ini. Selain itu, program ini juga dapat mendidik dan melahirkan pelajar pintar sebanyak mungkin mengikut sistem dan ujian yang lebih efektif.
Ujian saringan PERMATApintar UKM1 mula dijalankan bermula pada tahun 2010 berbentuk ujian secara talian merupakan ujian saringan pertama untuk pelajar menyertai program seperti perkhemahan cuti sekolah PERMATApintar (usia 9-15 tahun), program Permata Insan yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (usia 8 tahun), Akademi Permata Pintar untuk pelajar tingkatan 3 yang akan memasuki tingkatan 4 Akademi pada tahun 2011.
Jika selama ini banyak pelajar pintar tidak diendahkan, kini mereka boleh dilahirkan melalui sistem yang sistematik melalui pengajaran dan pembelajaran serta ujian yang lebih berkesan.

Monday, March 21, 2011

Conceptions of Intelligence

Article 5 : Definition of Intelligence

Definisi: Kepintaran
Kepintaran adalah kemampuan untuk belajar tentang, belajar dari, memahami, dan berinteraksi dengan persekitaran seseorang. Kemampuan umum terdiri dari beberapa kemampuan khusus, iaitu:
• Kemampuan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru atau perubahan dalam persekitaran semasa

• Kapasiti untuk pengetahuan dan kemampuan untuk mendapatkannya

• Kapasiti untuk alasan dan pemikiran abstrak

• Kemampuan untuk memahami hubungan

• Kemampuan untuk membuat penilaian dan menilai

• Kapasiti untuk pemikiran asli dan produktif

Kemampuan tambahan yang istimewa mungkin banyak lagi, tetapi mereka semua akan mampu yang membolehkan seseorang untuk belajar tentang, belajar dari, memahami, dan berinteraksi dengan persekitaran. Persekitaran dalam definisi ini tidak bererti lingkungan bumi, seperti padang pasir, pergunungan, dll, walaupun boleh membawa maksud bahawa jenis alam sekitar. Ini mempunyai makna yang lebih luas yang merangkumi persekitaran seseorang, termasuk orang di sekeliling mereka. Persekitaran dalam hal ini juga boleh menjadi sesuatu yang kecil sebagai keluarga, tempat kerja, atau di dalam kelas.

Friday, March 18, 2011

Friday, March 4, 2011

Appropriate Curriculum for the Talented Learner

Article 2: Evolusi kurikulum kanak-kanak pintar cerdas

Golongan pelajar pintar cerdas di Malaysia mula diberi perhatian dalam sistem pendidikan dengan terlaksananya Sistem Kelas Ekspres pada tahun 1962. Dalam Sistem ini, kanak-kanak yang memiliki potensi dan memperolehi pencapaian yang mengatasi rakan-rakan sebaya telah diberi peluang untuk memendekkan tempoh sekolah rendah mereka daripada 6 tahun kepada 5 tahun sahaja. Perlaksanaan sistem ini telah diberhentikan pada awal tahun 1970an.
Namun demikian pada awal tahun 1980an, satu Simposium Kebangsaan Mengenai Kanak-kanak Bergeliga telah diadakan. Ekoran daripada Simposium tersebut isu kanakkanak pintar cerdas ini kembali diperkatakan. Persatuan MENSA Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1984, bertujuan untuk mengenal pasti individu pintar cerdas.
Pada tahun 1985, pihak Universiti Malaya pula telah mengorak langkah memulakan Program BAKA khusus untuk pelajar pintar cerdas.
Manakala Persatuan Kanak-kanak Bergeliga Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1987. Menyedari tentang kepentingan untuk memberi perhatian terhadap program pendidikan khusus untuk pelajar pintar cerdas di negara ini, Seminar Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas telah diadakan pada tahun 1990, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Hasil 33 daripada seminar tersebut, didapati bahawa perancangan dan pelaksanaan program yang sistematik perlu diadakan bagi memenuhi keperluan pelajar yang pintar cerdas serta berbakat.
Ekoran dengan itu, pada tahun 1996, satu bentuk penilaian bagi mengenal pasti pelajar pintar cerdas telah dilaksanakan, yang dikenali sebagai Ujian Penilaian Tahap Satu (PTS). Penilaian ini dilaksanakan ke atas pelajar-pelajar Tahun Tiga sekolah rendah. Pelajar yang berjaya memperolehi tahap maksimum dibenar meneruskan persekolahan ke Tahun 5, tanpa perlu mengikuti persekolahan Tahun 4. Walau bagaimanapun, penilaian ini hanya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sahaja.