About Me...

My photo
Tanjong Malim, Perak, Malaysia
(Dari Kanan) Abdul Kalamudinsah Abd Karim, Rusmiza Rusle, Noraini Mohd Sohaimi, Nurul Aziyan Abd Aziz

Friday, April 1, 2011

School-Based Project Report

1.0 PENGENALAN
Projek Percutian bersama keluarga ke Genting Highlands merupakan aktiviti yang dipilih untuk dijayakan oleh murid tahun 6 Pintar SK Desa Bakti. Projek ini dipilih kerana ingin memberikan kebebasan kepada murid mencipta imaginasi berdasarkan segala maklumat yang dicari dan sedikit maklumat yang diberi.

Secara khususnya, murid di dalam kumpulan diminta merancang satu projek untuk bercuti di Genting Highlands bersama keluarga. Namun, dua halangan menanti iaitu had perbelanjaan dan tempoh masa. Murid akan mencari sendiri maklumat, membina jadual aktiviti, membina jadual perbelanjaan dan mempersembahkan maklumat kepada audien.

Murid diharap agar mampu meneroka sumber maklumat sendiri, menyusun maklumat, membuat pemilihan sendiri, merancang perjalanan aktiviti, merancang kos yang terlibat, menyelesaikan masalah dan mempertahankan hujah setiap kumpulan.


2.0 TINJAUAN KEPUSTAKAAN
Stanford Binet (1916), orang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford-Binet Test” menyatakan pintar cerdas ialah keupayaan individu memahami, membuat pertimbangan dan taakulan dengan baik. Lewis Terman (1916), menyatakan pintar cerdas adalah kebolehan individu untuk berfikir secara abstrak. Allport (1937) menyatakan pintar cerdas adalah keupayaan individu mengatasi masalah dalam kehidupan seharian. Burt (1954) menyatakan pintar cerdas adalah kebolehan kognitif yang umum dan semulajadi. Piaget (1950) menyatakan pintar cerdas kebolehan individu buat adaptasi terhadap persekitaran fizikal dan sosial.

Pintar menurut Kamus Dewan ialah cekap dan pandai, manakala cerdas bermaksud sempurna akal. Hasan (2009), menjelaskan pintar cerdas adalah kelebihan luar biasa dari segi minda dan kelakuan yang dimiliki individu. Menurutnya lagi kelebihan ini dapat membantu mereka membuat adaptasi secara lebih selesa kepada persekitaran hidup mereka dan didapati sering berada di hadapan jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka.

Berbakat merujuk kepada perkataan ‘gifted’ iaitu seseorang yang berpotensi menjadi cemerlang sama ada dalam bidang akademik atau bukan akademik. Menurut Gagne (1998) seseorang itu dikatakan berbakat apabila dia menonjolkan potensinya dalam bidang tersebut. Gardner (1983) mendefinisikan kepintaran sebagai an intelligence is the ability to solve problems, or to create products that are valued within one or more cultural setting (Frames of Mins 1983). Pernyataan ini telah dirumuskan oleh Linda Campbell, Bruce Campbell & Dee Dickinson (1999) sebagai kebolehan menyelesaikan masalah, kebolehan menjana masalah baru untuk diselesaikan dan kebolehan membuat sesuatu atau menawarkan perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan sesuatu budaya.

Seorang kanak-kanak yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi tidak semestinya seorang kanak-kanak yang pintar cerdas. Kanak-kanak yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi biasanya memiliki ciri-ciri tingkah laku yang unik. Mohd Hussain (1995) mendapati antara ciri-ciri kreatif yang biasanya dilaporkan oleh kebanyakan penulis adalah seperti berikut;

• Mudah tertarik pada perkara yang kompleks, misteri, artistik, dan estetik.

• Suka kelainan daripada orang lain seperti cara berpakaian, fesyen, pilihan, dan sebagainya.

• Suka berfantasi, bermain-main dengan imaginasi, atau idea-idea sendiri.

• Memiliki keyakinan diri yang tinggi serta suka dan berani mengambil risiko.

• Mempamerkan sikap idealistik dan tidak suka bergantung pada orang lain.

• Memiliki sifat ingin tahu dan suka meneroka sesuatu yang baru.

• Bersungguh-sungguh dan komited dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau aktiviti.

• Tidak suka dikawal dan dikongkong.
Manakala, Sally (2007) menyenaraikan tiga kaedah mengajar kanak-kanak pintar cerdas:

Menyediakan bahan-bahan kandungan pengajaran yang sesuai dan memberi tugasan yang mencabar.

Memulakan unit pelajaran dengan memilih konsep dalam kurikulum atau disiplin teras, mengenalpasti satu atau lebih generalisasi yang sesuai, dan merekabentuk tingkat pelajaran yang berkaitan dengan generalisasi tersebut. Tingkat pelajaran adalah strategi pelajaran dimana guru-guru mentaksir tahap kesediaan (minat, pengetahuan sedia ada dan tahap kemahiran) kanak-kanak dan mengumpulkan mereka mengikut pengajaran dan penghasilan yang sewajarnya.

Bagi pelajaran atau unit yang diberi, guru boleh merancang dari tiga hingga enam latihan yang berlainan yang memfokuskan kepada konsep dan generalisasi yang sama tetapi menggunakan bahan-bahan dan aktiviti-aktiviti pelajaran yang aras kesukarannya semakin tinggi kompleks. Disebabkan tahap kesediaan kanak-kanak ini akan berbeza bagi setiap topik, kumpulan kanak-kanak ini di dalam kelas akan berbeza bergantung pada perubahan kurikulum. Tingkat pelajaran menyesuaikan semua kanak-kanak dengan tahap kesediaan individu dan tahap kandungan, dan menyediakan peluang kepada kanak-kanak ini untuk mencabar diri mereka sendiri.

Terdapat empat jenis perkembangan akademik kanak-kanak pintar iaitu pelajar cemerlang (full-bloomer), baik (good-achiever), lemah (fade-away) dan lambat berkembang (late-bloomer). Kajian yang dijalankan oleh Seokhee Cho et.al (2008) menunjukkan kanak-kanak tersebut mempunyai keyakinan terhadap diri, kebolehan intelek, motivasi, dan sikap terhadap sekolah adalah sama. Dapatan jua menunjukkan kanak-kanak cemerlang membaca lebih banyak sejak kecil berbanding kanak-kanak lain.

Sokongan ibu bapa sangat diperlukan untuk menyokong perkembangan diri kanak-kanak pintar cerdas agar mereka tidak mengalami kemurungan dan kekecewaan dalam hidup mereka ( Rinn et.al 2008). Vrignaud, et. al (1991) dalam kajian mereka berkaitan teknik yang dilaksanakan di Perancis untuk kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai tahap akademik yang luar biasa serta kadar intelektual yang tinggi dan berbakat dalam seni dan sukan. Dapatan kajian mendapati Perancis telah menjalankan program pecutan (acceleration) dan program pengukuhan (enrichment).

Jennifer (2007) mendapati cara terbaik untuk perkembangan kanak-kanak pintar ialah dengan menempatkan kanak-kanak pintar di dalam kelas yang terbaik dengan kepintarannya. Guru kelas perlu mengetahui apakah keupayaan anak-anak pintar cerdas berdasarkan kepintarannya. Kenal pasti keupayaan kecerdasan kanak-kanak sama ada dari segi matematik, ataupun kecerdasan dari segi lapangan lain seperti membuat persembahan ataupun keupayaan memahami. Setelah mengenal pasti keupayaan dan kecerdasan pelajar tadi, guru kelas dan sekolah mestilah menyediakan keperluan bagi pengembangan kepintaran itu. Ini merupakan kaedah yang terbaik bagi kanak-kanak pintar cerdas. Kanak-kanak pintar cerdas perlu diberi perhatian oleh guru dan guru mestilah menggunakan gaya pengajaran yang bersesuaian.


3.0 PERANCANGAN
Setelah kami berbincang, kami bersetuju untuk memilih tajuk Percutian ke Genting Highlands. Tajuk ini dipilih kerana terdapat gabungan beberapa topik di dalam projek ini dan dapat mengenal pasti murid pintar cerdas melalui pemerhatian yang akan dibuat. Sekolah yang kami pilih untuk melakukan projek berasaskan sekolah ini ialah Sekolah Kebangsaan Desa Bakti. Sekolah ini terletak di Temerloh, Pahang. Kelas yang dipilih adalah kelas 6 Pintar. Daripada rekod akademik yang tercatat sebelum ini, didapati murid-murid di dalam kelas ini terdiri daripada murid-murid yang cemerlang dalam Matematik. Di dalam projek ini beberapa topik digabungkan untuk melihat sejauh mana murid-murid ini dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru.

Projek ini berkisar tentang perancangan percutian bersama keluarga. Lokasi yang dipilih ialah Genting Highlands. Projek ini bertujuan untuk membina keyakinan murid dalam merancang dan melaksanakan sesuatu aktiviti dalam kehidupan sebenar mereka. Kami telah mengabungkan dua topik dalam projek ini iaitu wang dan masa dan waktu. Setelah murid menjalankan tajuk ini, murid dapat mencari maklumat berdasarkan tajuk yang diberi, membina jadual perbelanjaan, membina jadual aktiviti dan mempersembahkan maklumat yang diperolehi. Jadual ini dibina berdasarkan maklumat yang icari oleh mereka sendiri. Kemahiran yang dapat diserapkan oleh murid ialah mencari maklumat dari sumber-sumber seperti internet, brosur atau secara lisan dan menganalisa maklumat secara kreatif dan kritis. Murid dapat menterjemah idea secara lisan dan bertulis, berkomunikasi dalam mempertahankan hujah dan pendapat serta bekerjasama dalam mencari dan menyusun maklumat. Murid juga dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian. Kenyataan masalah yang diutarakan di sini ialah bagaimanakah kita merancang sesuatu aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga dalam tempoh masa dan kewangan yang ditetapkan.

Sebelum memulakan projek ini murid diminta untuk mencari maklumat di dalam internet, majalah, brosur dan sebagainya, Murid merekodkan maklumat di dalam borang maklumat. Maklumat yang diperlukan ialah pengangkutan, penginapan, makanan dan aktiviti. Ketua kumpulan membentangkan hasil dapatan mereka selepas mengumpulkan maklumat.

Semasa melakukan aktiviti ini murid, murid perlu menyediakan jadual berdasarkan maklumat yang diberi. Untuk memberi kebebasan kepada murid, mereka dikehendaki merancang sendiri jadual perjalanan, bermula dari Mentakab ke Genting Highlands dan sebaliknya. Di dalam jadual aktiviti, murid dikehendaki merancang waktu, aktiviti dan tempoh masa dan menyusun aktiviti mengikut kesesuaian tempat, masa dan tempoh yang wajar. Murid juga perlu menyediakan jadual perbelanjaan. Murid diminta mengira perbelanjaan semua aktiviti berdasarkan bilangan ahli keluarga yang pergi dan menyusun perbelanjaan mereka di dalam rangka jadual yang disediakan.

Setiap ahli kumpulan perlu bekerjasama dalam menyumbangkan idea dan pendapat masing-masing. Setiap murid dibenarkan membuat pilihan sendiri mengenai makanan dan penginapan. Maka, murid bersama ahli kumpulannya haruslah sepakat dalam memilih pengangkutan, penginapan, makanan dan aktiviti yang dilakukan.

Di akhir projek ini ketua kumpulan dikehendaki berlakon seperti agen pelancongan yang akan membentangkan jadual perjalanan dan kos yang terlibat. Murid juga dikehendaki memberi alasan kepada pemilihan item-item yang tersenarai.

Di bawah ini dilampirkan bersama soalan dan senarai ahli kumpulan. Maklumat yang diberi adalah kepada murid ialah senarai ahli keluarga mengikut umur, waktu bertolak dan waktu tiba, waktu pulang ke Mentakab serta bayaran tol.


SOALAN PROJEK

PERCUTIAN BERSAMA KELUARGA KE GENTING HIGHLANDS

Anda dan keluarga bercadang untuk bercuti selama 2 hari satu malam ke Genting Highlands iaitu pada 31 April dan 1 Mei 2011. Sehubungan dengan itu, anda diminta oleh ahli keluarga anda untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat yang berguna untuk merancang percutian anda. Maklumat-maklumat tersebut boleh diperolehi dari laman sesawang, risalah, iklan dan maklumat lisan dari mereka yang pernah bercuti di sana. Rekodkan maklumat yang anda perolehi di dalam lembaran dibawah. Anda diminta untuk membawa maklumat ini untuk dibincangkan di dalam kelas pada hari esok.

Berikutnya, kumpulan anda diminta menyediakan jadual perjalanan dan jadual perbelanjaan berdasarkan maklumat yang diperolehi. Semua ketua kumpulan diminta mempersembahkan hasil dapatan kamu kepada rakan-rakan lain. Kumpulan anda akan bertindak sebagai agen pelancongan untuk meyakinkan ahli kumpulan lain untuk membeli pakej yang kamu tawarkan.

*Umur warga emas ialah 60 tahun dan ke atas dan umur kanak-kanak ialah 12 tahun dan ke bawah
*Pilihan kereta :
MyVi

Grand Livina

Kancil

Wira

Altis

Viva

Exora

Naza Ria

*Harga minyak kereta ialah RM0.50 untuk 1 kilometer.



4.0 PELAKSANAAN
Pelaksanaan projek ini terbahagi kepada lima sesi pembelajaran iaitu taklimat projek dan mencari maklumat, memilih dan menyusun maklumat, membina jadual perjalanan, membina jadual perbelanjaan dan mempersembahan maklumat. Projek ini mengambil masa selama empat jam untuk disiapkan dan terbahagi kepada 5 sesi. Sesi pertama iaitu taklimat projek dan mencari maklumat mengambil masa selama 30 minit.

Semasa taklimat projek, pelbagai soalan ditanya kepada murid iaitu:

1. Apakah yang sering kamu lakukan semasa cuti?

2. Apakah tempat-tempat menarik yang pernah kamu lawati?

3. Dari manakah kamu mengetahui maklumat tentang sesuatu tempat?

4. Apakah perkara penting yang kamu fikirkan sekiranya kamu mahu pergi bercuti?

5. Bagaimanakah kamu merancang perbelanjaan kamu di sana?

6. Apakah perkara yang sering menjadi halangan kepada kamu?

7. Adakah kamu berminat untuk pergi ke Genting Highlands?
Guru juga memberi taklimat bagaimana projek itu dilaksanakan. Perkara yang diberi tumpuan di dalam taklimat ialah seperti penerangan tentang kehendak soalan dan memikirkan bentuk maklumat yang perlu dicari. Guru juga menerangkan bahawa murid boleh mendapatkan sumber maklumat daripada internet, broser, ahli keluarga, rakan-rakan dan lain-lain. Dari pemerhatian yang dibuat murid menunjukkan tindak balas yang positif dan murid berasa amat seronok dan teruja untuk menjalankan aktiviti ini. Kebanyakan mereka mempunyai kemahiran mencari maklumat melalui internet dengan baik.

Berdasarkan jadual yang diberi kepada murid. Ketua kumpulan diminta untuk membahagikan tugas kepada ahli kumpulan masing-masing. Ketua kumpulan membahagikan tugasan kepada ahli tanpa bantuan guru. Daripada pemerhatian guru, semua murid bersedia menerima tanggungjawab yang diamanahkan. Ada murid yang dikehendaki mencari maklumat dari internet. Murid yang mahir melukis diminta menyiapkan muka depan folio dan menghiaskan folio mereka mengikut kreativiti. Murid yang pernah pergi ke Genting Highlands pula mencatatkan pengalaman mereka dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan lain. Pada masa ini juga, murid cuba merancang format jadual aktiviti dan jadual perbelanjaan. Terdapat beberapa murid yang agak merendah diri kerana tidak tahu mencari maklumat. Namun, ketua kumpulan mereka berjaya mengawal situasi.

Dalam sesi kedua ini murid diminta memilih dan menyusun maklumat mengikut kategori yang mereka tetapkan. Sesi ini berlangsung selama 30 minit. Murid membentangkan dapatan mereka di dalam kumpulan masing-masing. Daripada pelbagai maklumat yang diperolehi, guru memberi pandangan dan dapatan maklumat yang diperolehi oleh setiap kumpulan. Setelah itu, Murid menyusun maklumat mengikut kategori yang sesuai seperti permainan, pengangkutan, penginapan dan lain-lain lagi. Murid dibenarkan menampilkan sendiri cara mereka menyampaikan maklumat seperti menggunakan jadual, lukisan dan sebagainya. Didapati, murid berebut-rebut menyatakan setaip maklumat yang diperolehi. Semua kumpulan mempunyai maklumat yang mencukupi. Kerjasama yang ditunjukkan diantara ahli kumpulan sangat baik. Kebanyakan kumpulan memilih untuk mempersembahkan data dalam bentuk jadual. Namun, ada juga yang memilih untuk menghasilkan peta minda.

Semasa sesi ketiga pula, murid diberi masa selama satu jam untuk merancang jadual aktiviti. Dari pemerhatian kami, murid ini tergolong dalam murid yang pintar cerdas ini dapat merancang aktiviti dalam tempoh yang singkat dan memuaskan. Berdasarkan tempoh yang singkat iaitu lebih kurang 24 jam, murid dikehendaki merancang jadual perjalanan keluarga mereka. Ciri-ciri murid pintar cerdas juga dapat dilihat apabila murid dapat menyusun aktiviti dengan menyatakan waktu yang munasabah. Mereka dapat menyusun jadual dan aktiviti tanpa dibantu oleh guru. Mereka juga menggunakan pemikiran yang kreatif dan kritis apabila dapat menyediakan menyediakan jadual aktiviti mengikut kreativiti masing-masing. Pada masa ini, murid cuba mengeluarkan idea mereka sendiri dan mahu dihargai. Ada murid yang begitu berani menyuarakan pendapat mereka berserta dengan alasan yang kukuh. Ada juga murid yang seakan-akan merajuk kerana pendapat mereka tidak dihargai. Penyediaan Jadual waktu juga menimbulkan sedikit masalah kepada murid kerana masing-masing mahu pembinaannya mengikut kehendak individu. Citarasa yang berlainan bagi setiap individu menggalakkan murid berfikir tentang logik bagi setiap susunan aktiviti. Murid ini juga tahu bagaimana mencari kata sepakat apabila sesuatu itu tidak diterima dengan menjalankan undian mengangkat tangan tanpa meminta pendapat oleh guru.

Setelah perancangan dibuat, dalam sesi keempat pula murid perlu membina dan merancang perbelanjaan selama satu jam. Berdasarkan had perbelanjaan yang ditetapkan iaitu RM3500 bagi satu keluarga, murid dikehendaki merancang jadual perbelanjaan. Murid diingatkan supaya tidak meninggalkan mana-mana perbelanjaan dan perlu berhati-hati semasa membuat perbelanjaan. Sedikit pengubahsuaian terhadap jadual aktiviti telah dilakukan oleh guru bagi menguji sama ada murid kreatif dalam menyelesaikan masalah yang ditimbulkan atau tidak. Dari pemerhatian yang dibuat oleh kami sebagai seorang guru, dengan hanya mempunyai RM3500, murid belajar berjimat dan terpaksa membuat pilihan berdasarkan minat individu yang ramai. Mereka belajar untuk tidak mementingkan diri sendiri dan berkorban untuk kebahagiaan orang lain. Apabila diberi beberapa kekangan, murid cuba memodifikasi jadual perbelanjaan dan jadual aktiviti. Kekangan tersebut adalah seperti kehabisan hotel untuk ditempah, diskaun keatas tiket permainan dan kenaikan harga minyak.

Sesi kelima ialah persembahan murid selama 10 minit setiap kumpulan. Ketua kumpulan dikehendaki menyampaikan hasil dapatan mereka. Mereka membentangkan dua maklumat utama iaitu jadual aktiviti dan jadual perbelanjaan. Guru meminta mereka memberikan hujah kepada pemilihan hotel, aktiviti dan tempat makan. Kesemua ketua kumpulan dapat membentangkan hasil dapatan mereka dengan baik. Keyakinan setiap ketua kumpulan sangat memberangsangkan. Mereka mengutarakan maklumat dengan suara yang jelas, gaya yang meyakinkan dan 'eye contact' yang baik. Maklumat yang diberikan oleh ketua kumpulan hampir tepat. Hanya kumpulan Oren dan Biru sahaja memberikan jawapan yang agak mengaburkan tetapi telah dibantu oleh ahli kumpulan lain. Guru juga memberikan beberapa soalan sebagai panduan kepada murid untuk mencari penyelesaian.


5.0 PENILAIAN PROJEK
Selepas menjalankan projek ini, beberapa perkara perlu diberi perhatian dan meninggalkan kesan kepada guru.

Bagi memenuhi keperluan murid pintar cerdas, agak sukar bagi guru untuk mencari aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang benar-benar sesuai dan memenuhi keperluan mereka. Pelbagai aspek perlu diambil kira. Diantaranya ialah ciri-ciri murid pintar, gaya pembelajaran murid dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan minat dan keupayaan murid. Seseorang guru perlu menjalankan aktiviti pengajaran berbentuk penerokaan maklumat dan penyelesaian masalah. Setelah menjalankan projek, timbul kesedaran bahawa aspek-aspek pembelajaran bermakna, menyeronokkan, berfikir secara kritis dan kreatif, pentaksiran, kebolehpercayaan, kebergunaan, kesahan dan sebagainya sangat penting.

Dari penilaian kami sebagai guru, pelaksanaan projek ini memenuhi keperluan murid yang mempunyai pengamatan yang tinggi. Murid pintar mampu mengetuai kumpulan dengan baik. Mereka mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sanggup berkongsi ilmu, maklumat dan kemahiran mereka dengan murid lain. Oleh sebab itu, setiap kumpulan dapat menghasilkan projek dengan begitu baik sekali hasil kemudi seorang murid pintar cerdas.

Murid pintar cerdas mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat tinggi. Perasaan ingin tahu ini juga membuatkan murid mencari seberapa banyak maklumat yang berguna. Kepintaran mereka menyebabkan murid-murid ini menapis dan menyaring dahulu maklumat yang diperolehi sama ada maklumat itu releven atau tidak relevan dan boleh digunakan atau tidak boleh digunakan.

Selain itu, murid-murid ini mempunyai kemahiran menyusun maklumat mengikut kategori-kategori tertentu. Maka, dapat disimpulkan bahawa mereka juga mempunyai kemahiran kognitif dan penaakulan yang baik, selain mempunyai kemahiran visual yang tinggi. Tugas guru kini lebih tertumpu kepada fasilitator yang hanya memberi panduan kepada murid. Konsep ‘teach less learn more’ sama-sama dihayati. Pembelajaran secara konstruktivisme dan kontekstual sangat ditekankan. Oleh sebab itu, guru berkali-kali memberitahu kepentingan matematik dalam kehidupan seharian mereka. Penyerapan pelbagai nilai murni terhadap murid-murid ini dibuat dengan begitu halus. Contohnya, guru sering mengajak murid memikirkan kembali apa yang telah mereka lakukan dan mengaitkan semula dengan nilai-nilai murni yang mereka telah lakukan. Ini dapat dijadikan contoh yang baik kepada rakan-rakan yang lain.

Sebagai guru, ada beberapa perkara yang telah mewujudkan kesedaran dan harapan yang tertanam dalam hati. Memahami murid pintar cerdas adalah penting supaya mereka dapat mempelajari sesuatu perkara dengan keupayaan maksimum mereka. Gaya pembelajaran yang sesuai perlulah difahami agar mereka dapat menyesuaikan kepintaran mereka dengan aktiviti pembelajaran yang dilakukan oleh guru. Memahami psikologi mereka sangat berguna. Kurikulum di Malaysia juga tidak banyak menekankan aktiviti pembelajaran murid pintar cerdas kerana struktur kurikulum berpusat direkabentuk mengikut keupayaan murid yang sederhana dan sesuai mengikut tahap umur yang biasa.

Seorang guru hendaklah menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakan pembelajaran yang lebih baik. Capaian sumber maklumat yang mudah, fasiliti yang mencukupi dan bilik darjah yang kondusif dapat menghasilkan persekitaran pembelajaran yang baik.

Pengajaran hendaklah berpusat kepada murid. Maka, pemilihan projek ini dilihat bertepatan dengan gaya pembelajaran yang diperlukan oleh murid pintar cerdas. Penerimaan dan penganalisisan idea yang dilontarkan turut ditekankan. Pada tahap umur 12 tahun juga dianggap terlalu muda bagi murid untuk merancang satu percutian yang memakan kos yang agak tinggi. Batasan yang diberikan iaitu hanya RM 3000 dan lebih kurang 24 jam juga menyebabkan murid terpaksa berfikir secara kreatif dan kritis. Guru juga seharusnya bijak menggunakan kepintaran murid pintar untuk membantu murid-murid lain.

Kesimpulannya, projek percutian ke Genting Highlands ini banyak mengambilkira aspek-aspek penting bagi memenuhi keperluan murid pintar cerdas.


RUJUKAN
Hasan Mohd Ali. (2009). Anak kita memang pintar cerdas: Panduan membina potensi diri anak-anak. PTS Publication & Distributors Sdn.Bhd.

Ishak Ramly (2005). Inilah Kurikulum Sekolah. Batu Caves: PTS Professional.

Jennifer Riedl Cross. (2007). Developing your child’s talent in the real world: Dealing with just a position between ideal and actual gifted education. Gifted child today.

National Association for Gifted Children. (2008). Is there a definition of gifted? Retrieved Mac 27, 2011, from http://www.nagc.org/index.aspx?id=548

Nik Azis Nik Pa (1991). Program Pendidikan Pelajar Pintar Cerdas teori dan praktik. Kajang: Institut Pengajian Imu-Ilmu Islam.

Noriah Mohd Ishak, Rosadah Abd Majid & Siti Fatimah Mohd Yassin (2009). Permatapintar negara: pengalaman UKM. Selangor: Pusat PERMATApintar Negara, UKM.

Rinn, A. N., Jamieson, K. M., Gross, C. M., & McQueen, K. S. (2008). A canonical correlation analysis of the influence of social comparison, gender, and grade level on the multidimentional self-concepts of gifted adolescents. Social Psychology of Education.

VanTassel-Baska, J. (1998). Excellence in Educating Gifted & Talented Learners, Third Edition. Denver: Love Publishing Company.

VanTassel-Baska, J. (2004). Curriculum for Gifted and Talented Students. United States: Corwin Press.

Creativity, Thinking Skills for the Gifted

Article 5 : Enhancing Critical-Thingking Skills in Children: Tips for Parents

Identification and Assessment for Talented Learners

Article 5 : The Identification of Students Who Are Gifted

Key Issues and Problems in Gifted Children

Article 5 : Surviving or Thriving?

Characteristics and Needs of Talented Learners

Article 5 : Sistem pelajaran perlu diubah untuk keperluan pelajar pintar cerdas